LAPOR POLIS BUKTI STRERAM DITOLAK

Satu laporan polis ke atas calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram oleh seorang ahli Parlimen PKR yang mendakwa beliau gagal membayar balik hutang persendirian membuktikan beliau ditolak sendiri oleh ahli partinya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tindakan ahli Parlimen PKR tersebut sekaligus mengesahkan dakwaan sejak awal bahawa wujud penolakan ahli PKR sendiri terhadap Streram sebagai calon PH di PRK Rantau kelak.

“Segala apa yang berlaku ini menunjukkan petanda awal kekalutan PKR dalam isu pemilihan calon bertanding di kawasan tersebut (DUN Rantau).

“Di pihak pembangkang, Barisan Nasional (BN) telah menampilkan calon penyandang yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik iaitu Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bukan sahaja di DUN Rantau tetapi juga Negeri Sembilan,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata DUN Rantau merupakan persaingan penting kerana ia melibatkan maruah pembangkang yang perlu dipertahankan oleh Barisan Nasional (BN) dengan dibantu secara rasmi oleh PAS.

“Ia juga bakal menunjukkan medan untuk menguji sokongan rakyat terhadap BN dan PAS serta Mohamad sendiri,” katanya.

Terdahulu, satu mesej tular dalam laman media sosial mendakwa seorang ahli Parlimen membuat laporan polis terhadap Streram atas dakwaan gagal membayar hutang peribadi yang dipinjam.

Streram kemudian mendakwa beliau telah difitnah atas tuduhan tersebut yang sengaja dilemparkan oleh segelintir individu dalam PKR sendiri untuk merosakkan imejnya.

Wartawan Watan-Online



Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.