PERJANJIAN STATUTE ROM: APA TUJUAN KERAJAAN?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat bersikap terburu-buru apabila menandatangani perjanjian Statute Rom yang sangat mencurigakan, tegas Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Katanya kerajaan juga gagal memberi pemahaman kepada rakyat di negara ini dengan jelas mengenai matlamat utama negara menandatangani perjanjian yang memberi impak kepada negara dan kedudukan Yang di Pertuan Agong (YDPA) itu.

“Antara intipati penting perjanjian tersebut adalah berkaitan Artikel yang memperuntukkan bahawa kekebalan atau peraturan-peraturan khas yang terpakai bagi seseorang semasa menyandang jawatan rasminya di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa tidak boleh menghalang Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) daripada melaksanakan bidang kuasanya ke atas orang sedemikian.

“Ini secara tidak langsung menyentuh kekebalan Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub di bawah Perkara 32 (1), Perkara 181(2), Perkara 182 dan Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian Rome Statute akan memberikan kuasa kepada ICC bagi membicarakan Yang Dipertuan Agong sebagai Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia jika berlaku kes-kes di dalam bidang kuasanya. secara tidak langsung perjanjian ini adalah campur tangan luar terhadap Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sekaligus mengancam kedaulatan institusi tersebut,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi turut menegaskan kerajaan telah mengetepikan institusi raja-raja apabila membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Pemuda UMNO Johor berpendirian bahawa kerajaan harus berbincang dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menandatangani perjanjian tersebut terutamanya bagi perkara yang melibatkan kesan besar terhadap institusi monarki, namun ternyata kerajaan telah gagal melakukan sedemikian sebaliknya membelakangkan institusi raja-raja.

“Sebagai bukti perjanjian ini diputuskan oleh kerajaan pada 12 Disember 2018 lalu dan Menteri Luar hanya mengadap Yang Dipertuan Agong memaklumkan keputusan tersebut pada 15 Februari yang lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Hairi turut meluahkan kekecewaan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang seolah-olah memperlekeh kenyataan Tengku Mahkota Johor mengenai perkara tersebut dengan mengatakan TMJ bukan seorang wakil rakyat.

“Bagaimana seorang pemimpin yang diangkat oleh rakyat menidakkan suara anak kepada Sultan yang mahu membela dan tidak jemu menjaga kebajikan rakyat jelatanya. Mana suara ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam isu ini? Tidakkah Ketuanya anak jati Johor dan hanya diam membisu sahaja.

“Justeru itu, Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan segera tampil memberi penjelasan kerana rakyat berhak mengetahui perkara tersebut,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.