BERTINDAK CEPAT, JANGAN TUNGGU DAN LIHAT – KHALED

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk memandang serius isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang yang telah memudaratkan penduduk sekitar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan PH Johor sepatutnya mengambil langkah tuntas bagi menghadapi isu serius yang mengakibatkan penutupan 13 buah sekolah itu.

“Lebih 200 pelajar sekolah, pekerja serta orang awam di kawasan sekitar telah menerima padah hasil daripada pencemaran sisa yang dibuang secara tidak bertanggungjawab oleh pengilang ke dalam Sungai itu.

“Keadaan kini dilaporkan semakin kritikal. Jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital dan ICU untuk menerima rawatan juga meningkat. Keadaan keseluruhan belum menunjukkan sebarang perkembangan yang positif.

“Lebih malang dan sangat dikesalkan adalah kegagalan dan kelemahan Kerajaan Negeri dalam menguruskan perkara ini. Sehingga ke saat ini, tiada sebarang ketegasan dapat dilihat. Apatah lagi rasa simpati, prihatin atau pertanggungjawaban kepada semua mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata lebih merunsingkan ialah apabila kerajaan PH Johor langsung tidak memberi sebarang kepastian terhadap tahap keselamatan di kawasan terbabit.

“Paling merisaukan, tidak ada jaminan atau kepastian daripada Kerajaan Negeri atau pihak berwajib. Adakah perkara ini sekarang berada dalam keadaan terkawal dan sedang diuruskan dengan baik?

“Adakah Pasir Gudang kini selamat? Atau adakah keadaan sebenarnya di luar kawalan dan akan terus merebak dan menjadi semakin kronik?,” soal beliau sebelum menegaskan sikap acuh tidak acuh kerajaan PH negeri telah mengakibatkan rasa panik dalam kalangan penduduk.

Justeru, Khaled menggesa agar kerajaan PH segera bertindak dengan menubuhkan jawatankuasa kerja bagi mengkaji dan mendalami kes ini dengan serius dan berfokus.

Beliau turut menggesa kerajaan membenarkan penglibatan Jabatan Alam Sekitar Negeri dan wakil dari Putrajaya, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak-pihak pakar dalam kes ini.

“Kedua, sediakan wakil khas dari Kerajaan Negeri untuk berurusan dan memberikan perkembangan terkini kepada semua mangsa dan keluarga terlibat, wakil media serta orang awam. Masyarakat tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai, gelisah serta bimbang akan status kes ini.

“Ketiga, saya mohon agar diasingkan satu peruntukkan dana khas untuk membantu semua mangsa dan disalurkan dengan segera.

“Kes yang sedang berlaku ini menggambarkan dengan sendirinya kelemahan serta tahap ketidakmampuan Kerajaan Negeri dalam menguruskan isu serius dan membendungnya agar tidak terus menjadi semakin kritikal,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.