HERET PEMBUANG SISA TOKSIK KE MAHKAMAH – GPMS

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyatakan sokongan terhadap titah Sultan Johor, KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar agar siasatan terhadap pencemaran pembuangan sisa toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang segera dilaksana.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata pelaku pencemaran yang mengakibatkan penduduk mengalami masalah kesihatan serius itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan untuk mendapat hukuman yang sewajarnya.

“Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyatakan perasaan kesal dan dukacita atas insiden pencemaran pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang Johor Darul Takzim.

“Lebih mendukacitakan apabila insiden ini telah menyebabkan lebih 900 orang pelajar di 9 buah sekolah berdekatan mengalami sesak nafas dan menjadi mangsa keadaan akibat perbuatan yang tidak bertanggunjawab ini.

“Pihak GPMS menyatakan rasa simpati kepada ahli keluarga pelajar yang menjadi mangsa insiden pencemaran ini,” katanya melalui kenyataan media pada Rabu.

Mengulas lanjut, Anas berkata sukarelawan GPMS kini bersiap siaga membantu mereka yang terjejas akibat daripada perbuatan buruk pihak yang melakukan pencemaran tersebut.

“Pihak GPMS akan sentiasa memantau dan mendapatkan maklumat daripada pihak pengurusan bencana berkenaan keadaan semasa di tempat kejadian.

“Para Sukarelawan GPMS sentiasa bersiap-siaga untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk sekiranya diizinkan oleh pihak pengurusan bencana,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.