DAP ‘ISYTIHAR PERANG’ KEPADA NGO ISLAM

Tindakan undang-undang yang dibuat pimpinan DAP terhadap Pengerusi Gagasan Tiga (G3), Datuk Azwanddin Hamzah disifatkan sebagai ‘pengisytiharan perang’ terhadap badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam.

Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Noor berkata tindakan saman yang dibuat oleh lima pemimpin utama DAP termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu turut menggambarkan ketakutan DAP dengan agenda penyatuan Melayu Islam yang digerakkan NGO Melayu Islam seluruh negara bagi tujuan kebangkitan umat Melayu Islam dalam menentang kuasa bangsa DAP.

“Saya ingin tegaskan kepada DAP bahawa G3 tidak akan gentar dengan tindakan saman dan surat tuntutan oleh DAP ke atas Azwanddin yang merupakan pengerusi G3 ini, malah akan terus menyerang DAP dari segenap sudut demi menyedarkan rakyat Malaysia terutama orang Melayu mengenai bahaya bangsa DAP ini kepada negara tercinta.

“Walaupun sebelum ini Azwanddin direman, diheret untuk didakwa dan terperap dalam lokap berhar-hari lamanya, ternyata, ini tidak sesekali melemahkan semangat untuk terus berjuang menentang bangsa DAP, sebaliknya menambah iltizam dan membakar semangat lebih ramai pejuang untuk menumbangkan DAP pada PRU15 akan datang.

“Di kala Azwanddin diasak dan ditekan secara berterusan oleh kerajaan bangsa DAP ini, tindakan perundangan oleh DAP ini sekaligus membuktikan bahawa pengaruh NGO-NGO Melayu Islam terutama G3 telah berjaya menyatukan ummah dan bangkit menentang kerajaan yang diterajui DAP pada hari ini,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amran berkata tindakan saman tersebut tidak akan melemahkan usaha NGO Melayu Islam, malah semakin mempercepat usaha penyedaran rakyat terhadap bahaya DAP.

“Percayalah kamu bahawa semakin kami ditekan, diasak dan dikena tindakan undang-undang, maka semakin ramai orang-orang Melayu akan bangkit menentang bangsa DAP ini yang telah terbukti rasis dalam tindakannya, munafik – hanya pandai berjanji tetapi tidak menunaikan manifestonya serta gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Justeru, saya ingin menyeru orang Melayu Islam terutama NGO Melayu Islam agar bangkit bersolidariti mempertahankan Azwanddin sebagai simbolik kesatuan NGO Melayu Islam dalam menentang bangsa DAP demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.