MAHFUZ ‘KETAKUTAN’

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar diibaratkan sedang dalam ‘ketakutan’ apabila membuat kenyataan bahawa PAS seperti menanggung biawak hidup kerana menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Datuk Hasmuni Hassan berkata, Mahfuz nyata bimbang sekiranya kerjasama dua parti Melayu terbesar itu akan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di beberapa buah negeri termasuk Perak dan Kedah.

“Sebenarnya Mahfuz sendiri memahami akan konsep kerjasama UMNO-PAS ini iaitu di atas penyatuan ummah atau ta’awun (tolong-menolong) yang bakal meniupkan semangat nasionalis seperti zaman menuntut kemerdekaan dahulu.

“Rakyat khususnya masyarakat Melayu beragama Islam, kini mula menyedari prestasi Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan adalah lebih baik berbanding PH yang penuh penipuan, kekeliruan dan gagal memenuhi kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Terdahulu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan PAS menanggung biawak hidup apabila parti itu menjalin kerjasama dengan UMNO bagi memenuhi agenda penyatuan ummah.

Mahfuz berkata ini kerana kerjasama UMNO dan PAS dilihat menjurus kepada penyebaran pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman serta agama.

Mengulas lanjut, Hasmuni yang juga Exco Pemuda UMNO menjelaskan, rakyat kini sedar bahawa pengembalian kuasa politik kepada BN, UMNO dan PAS mampu menyelesaikan masalah pentadbiran negara yang sedang gawat ketika ini.

“Rakyat tahu UMNO dan PAS adalah parti yang lebih berpengalaman dan lebih penting tidak menjadi ‘perkakas’ dan alat kepada mana mana parti politik tertentu.

“Lebih-lebih lagi PAS yang turut berpengalaman dalam mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan mementingkan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Hasmuni turut berkata majoriti rakyat kini memandang bahawa kerjasama UMNO-PAS itu sebagai ‘rahmatan lil alamin’ dalam erti kata sebenar iaitu memberi keadilan, keuntungan dan kesejahteraan yang lebih baik berbanding kerajaan PH.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.