PENCEMARAN SG KIM KIM: SEGERA ISYTIHAR DARURAT BENCANA

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan PH segera mengisytiharkan darurat bencana di kawasan sekitar Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengisytiharan darurat itu termaktub dalam Arahan No: 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya tindakan itu wajar dilakukan berikutan perkembangan terkini yang dilihat semakin teruk apabila jumlah mangsa dilaporkan mencecah lebih 2000 orang.

“Keadaan nampaknya semakin tidak terkawal dan risiko kepada rakyat semakin meningkat. Dalam keadaan kritikal sebegini, usahlah dikira implikasi kewangan yang harus ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Pasir Gudang harus diberi keutamaan,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terdahulu berkata kerajaan masih menilai situasi pencemaran di Sungai Kim Kim sebelum mengisytiharkan darurat.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.