SEGERAKAN SIASATAN PENCEMARAN SUNGAI KIM KIM

Puteri UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyegerakan siasatan terhadap insiden pencemaran kimia Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menjejaskan kesihatan penduduk awam.

Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi berkata pihaknya turut berharap kerajaan PH memandang serius insiden ini dengan memastikan pihak tidak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami juga melahirkan rasa dukacita terhadap sikap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik apabila meminta sekolah dibuka semula secara tergesa-gesa tanpa memerikaa keselamatan guru dan murid-murid.

“Sepatutnya beliau mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memberi jaminan bahawa sekolah itu benar benar selamat sebelum mengarahkan sekolah itu dibuka semula,” katanya melalui kenyataan media pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata pihaknya turut sedar isu kritikal ini tidak boleh dijadikan modal politik demi keuntungan mana-mana parti.

Justeru beliau menegaskan Puteri UMNO bersedia membantu kerja-kerja pembersihan selain memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.

“Kita bersedia untuk memberi sokongan psikologi kepada ibu bapa mangsa yang terlibat serta bersedia untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bersama-sama dengan guru dan masyarakat setempat setelah pencemaran ini ditangani.

“Puteri UMNO mendoakan agar murid-murid yang menjadi mangsa dalam insiden malang ini berjaya disembuhkan dan mengharapkan agar para ibu bapa tabah menghadapi ujian ini serta mengikuti nasihat pihak berkuasa untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kes pencemaran kimia di Pasir Gudang semakin kritikal apabila jumlah mangsa kini mencecah kepada lebih 2000 orang.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.