MP PEMBANGKANG LETAK JAWATAN PAC

Dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk seorang dari PAS mengambil keputusan meletakkan jawatan daripada menjadi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkuatkuasa serta-merta.

Kesemua yang terlibat iaitu Ahli Parlimen BN Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen BN Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan selepas kecewa dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menunaikan janji manifesto untuk melantik Pengerusi PAC dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Perkara tersebut disahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut mendakwa keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee jelas bertentangan dengan manifesto kerana Ronald telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Kalau diteruskan, bermakna Pengerusi dari PH, Timbalan Pengerusi PAC juga dari PH.

“Maknanya, gabungan itu ada kuasa sepenuhnya dalam PAC sedangkan tujuan melantik ahli Parlimen pembangkang supaya PAC boleh menjadi semak dan imbang berkesan untuk kerajaan.

“Kita nampak ini satu penyelewengan daripada segi janji, walaupun kita tahu janji lain tak ditepati tetapi transformasi Parlimen ini diharapkan dapat dilaksana. (Jadi), kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi kepada pembangkang,” katanya menerusi sidang media di Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.


Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.