AMARAN BUAT PH: JANGAN ULANG STRATEGI FITNAH

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob menyelar pihak yang dilihat seakan-akan terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sehingga sanggup menularkan fitnah berkaitan beliau.

Suraya berkata foto yang ditularkan menunjukkan dirinya sedang menghulurkan barang kepada orang ramai konon sedang merasuah pengundi PRK Rantau adalah tidak benar berikutan Suraya tidak berada di kawasan DUN tersebut.

“Sebenarnya, gambar yang ditularkan itu merupakan salah satu program agihan bantuan kecil kepada masyarakat di Kampung Lahar Tunjung, yang terletak di DUN Sungai Tiang, Kedah, kawasan yang diwakili saya sendiri pada 1 April lalu,” katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi pada Khamis.

Mengulas lanjut, Suraya berkata rakyat kini sudah celik dan tidak akan tertipu lagi dengan strategi fitnah yang pernah dimainkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Kami wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidaklah mewah diberi peruntukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk disalurkan kepada rakyat, namun kami rela berkongsi seada mampu bersama bagi meringankan beban yang kian menekan di zaman Malaysia Baharu.”

“Berkempenlah dengan sihat dan adil. Sesungguhnya rakyat tidak bodoh untuk diperbodohkan sekali lagi. Cukuplah dengan strategi memfitnah dan menipu pada PRU ke-14 yang lalu. Rakyat kini majoritinya sudah ‘celik’, “ katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.