PRK RANTAU: RAKYAT LEBIH YAKIN TOK MAT

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan lebih diyakini pengundi berbanding mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang turun membantu kempen PH.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata ini kerana Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat bukan sahaja bekas penyandang Rantau yang merupakan anak jati tempatan, malah turut berjaya menggalas tugas-tugas presiden UMNO yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

“Sesiapa pun datang berkempen di Rantau bagi pihak lawan samada Datuk Seri Anwar atau pun Tun Dr Mahathir pun, kami yakin calon BN sebab calon BN bukan sekadar anak tempatan dan penyandang kawasan ini tetapi beliau juga yang menjalankan tugas presiden.

“Bagi BN kami sentiasa memantau perjalanan kempen mereka… setiap hari kita akan jawab dan balas serta memberi penerangan supaya tidak ada apa-apa perkara atau isu yang tidak dijawab. Tugas saya memberikan penerangan semula dalam ceramah terhadap apa yang dibangkitkan. Jadi sesiapa pun datang serta pengaruh apa pun yang disandarkan calon PH, tugas saya membantu Tok Mat menjawab isu-isu,” katanya dalam sidang media di Rembau, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata walaupun peluang BN untuk memenangi PRK tersebut dilihat cerah, namun usaha perlu ditingkatkan bagi menambah keyakinan pengundi.

“Kita kena kerja lebih kuat dan saya nampak sokongan daripada pengundi tempatan Melayu baik terhadap Tok Mat dan juga BN. Di kalangan bukan Melayu pun sedang meningkat dan kita perlu bekerja lebih kuat. Kita tidak mahu kemenangan Tok Mat datang daripada satu kaum sahaja dan kita mahu kemenangan daripada semua.

“Tok Mat banyak jasa kepada pengundi di sini sama ada pengundi Melayu dan bukan Melayu. Jadi tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan kepada Tok Mat.

“Kalau Datuk Seri Anwar merayu kepada pengundi Melayu supaya jangan tengok pada kaum calon daripada PH, samalah juga kepada pengundi bukan Melayu di Rantau ini terutama apabila kita mengambil jasa Tok Mat terhadap masyarakat bukan Melayu,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.