ASYRAF PERSOAL HIBAH TH

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi mempersoalkan pengisytiharan Hibah Tabung Haji (TH) yang hanya sebanyak 1.25 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya pengumuman Hibah paling rendah dalam sejarah yang diumumkan Menteri Dr. Mujahid Yusuf Rawa itu merupakan sesuatu yang tidak wajar berikutan keuntungan boleh agih bagi tahun kewangan 2018 yang diumumkan sebanyak RM2 bilion.

Beliau turut mempersoalkan baki RM5.8 bilion hasil penjualan aset berharga TH kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

“Sebagaimana laporan YB Menteri sebelum ini jumlah aset bernilai RM10 bilion telah berjaya dijual pada nilai RM19.9 bilion. Sekiranya keuntungan ini digunakan untuk menutup defisit RM4.1 bilion aset pada tahun 2017, maka ianya masih berbaki RM5.8 bilion. Namun begitu, TH hanya mengisytiharkan RM2 bilion sahaja keuntungan boleh agih. Ke mana perginya RM3.8 bilion baki keuntungan hasil jualan aset-aset TH?

“Apakah pula jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh TH kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya. Apakah yang terjadi sekiranya nilai aset-aset ini kurang dari nilai Sukuk yang dipegang oleh TH? Sudah tentu TH terpaksa merekodkan kerugian,” soal beliau melalui kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan sama, Asyraf turut mempersoalkan kenyataan PH yang mendakwa wujud penyelewengan, penipuan, manipulasi akaun oleh pengurusan terdahulu walaupun tiada pendakwaan dibuat sehingga hari ini.

“Sebaliknya Menteri lebih gemar mencetuskan sentimen dan menghukum mereka di mahkamah persepsi.

“Apakah ini satu cara menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan PH yang hakikatnya juga bertanggungjawab menakut-nakutkan pelabur dengan naratif hutang negara tinggi dan bakal bankrap, dasar luar negara yang tidak konsisten dan mengelirukan hingga mengakibatkan saham-saham perladangan Kelapa Sawit dan Getah milik TH menjunam jatuh selepas pertukaran Kerajaan pada Mei 2018,” katanya yang turut menuntut penjelasan daripada Mujahid mengenai kekeliruan dalam isu TH Indoplantation di Riau yang kerugian sebanyak RM408 juta sedangkan rekod TH mencatatkan keuntungan berjumlah RM873 juta.

“Mohon YB Menteri Dr Mujahid menjelaskan dengan telus dan tulus persoalan-persoalan di atas yang rakyat berhak tahu terutamanya 9.3 juta orang pendeposit di kalangan orang Islam.

“Sudah-sudahlah bermain sentimen menyalah kerana tidak selamanya rakyat boleh diperbodohkan dengan sentimen fitnah dan tohmah,” tegas beliau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.