PH BIMBANG RAKYAT SOKONG TOK MAT-KJ

Serangan peribadi yang dilancarkan Pakatan Harapan (PH) terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan membuktikan blok tersebut kini berada dalam keadaan bimbang melihat sokongan padu rakyat terhadap beliau.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata serangan agresif tersebut dipertingkatkan bagi mengekang momentum rakyat kepada Mohamad Hasan yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Lawan kita lihat momentum sedang meningkat dan dalam masa dua atau tiga hari lepas mereka mula lakukan serangan peribadi.

“Sebelum ini mereka bercakap tentang dasar dan janji PH tetapi sekarang banyak serangan peribadi.

“Macam-macam cerita diungkit semula. Yang saya baca, mereka persoalkan tentang pengisytiharan harta Tok Mat (Mohamad). Semasa dalam kerajaan BN, menteri dan menteri besar biasa isytiharkan harta,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku di Rembau pada malam Isnin.

Dalam perkembangan sama, Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan turut membidas pihak yang mempertikaikan harta dimiliki Mohamad Hasan.

Katanya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu merupakan seorang tokoh korporat yang dikenali di Asia Tenggara sebelum masuk ke bidang politik.

“Beliau bukan ahli politik sejak muda, pada tahun 2004, Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) panggil Tok Mat yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes-Benz. Beliau bukan CEO jaga di Malaysia tetapi CEO di Asia Tenggara. Jarang sekali kita tengok syarikat Eropah lantik anak tempatan jadi CEO di negara yang mereka melabur.

“Pak Lah minta dia tinggalkan jawatan itu, menang dilantik jadi MB (menteri besar). Gaji MB dengan korporat jauh beza tetapi sebab dia sayangkan Rantau, dia sanggup. Tak hairan kalau dia ada harta, orang Rantau tahu cerita ini tapi orang luar mungkin tak tahu,” jelas beliau.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.