MELAYU SEMAKIN KUAT DAN BERSATU-KHALED NORDIN

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan kaum Melayu kini lebih bersatu dan tidak lagi mempunyai pelbagai label antara satu sama lain angkara politik seperti yang berlaku pada era Tun Mahathir.

Katanya masalah perpecahan antara kaum Melayu yang dibenarkan berlaku selama ini oleh Tun Mahathir berjaya diselesaikan dengan agenda penyatuan ummah yang diusahakan oleh UMNO dan PAS.

“Perhatian dan keprihatinan Tun Mahathir kepada UMNO tidak pernah pudar. Terbaharu, kerisauan beliau yang UMNO akan menjadi semakin PAS susulan kerjasama kedua-dua parti tersebut.

“Tidak kisah UMNO menjadi semakin PAS atau PAS semakin UMNO kerana itu terpulang kepada cara masing-masing melihatnya. Yang pasti, orang Melayu semakin kuat dan bersatu, tidak berpecah belah dan berpatah arang seperti yang Tun Mahathir lihat dan benarkan berlaku selama ini.

“Kedua, adalah jauh lebih baik orang Melayu bersatu padu melalui kerjasama UMNO dan PAS berbanding kerjasama Tun Mahathir dengan DAP,” katanya dalam jawapan balas kepada kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa UMNO semakin berubah menjadi PAS selepas kedua parti terbesar kaum Melayu itu menjalin kerjasama politik.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga merupakan bekas menteri besar Johor menegaskan supaya Tun Mahathir berhenti daripada melabel kaum Melayu yang dilihat merugikan bangsa dan negara.

Katanya hanya ada satu jenis Melayu iaitu Melayu yang cintakan tanah air dan meraikan bangsa lain seperti saudara sendiri.

“Macam-macam jenis Melayu kita dengar pada zaman Tun. Melayu kopiah putih, Melayu songkok hitam, semua itu tidak sihat untuk negara.

“Pada kami, kita hanya ada satu Melayu. Melayu Malaysia, Melayu yang cintakan tanah air, Melayu yang meraikan bangsa lain sebagai saudara yang hadir dan bersama-sama berpayung pada tanah ini. Maka, janganlah Tun terus melabel Melayu dan memecah-belahkan bangsa kita.

Khaled dengan sinis turut mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir yang dilihat terus prihatin dengan perkembangan UMNO yang pernah diramalkan bakal berkubur pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Akhir sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa terharu dan terima kasih kepada Tun kerana terus prihatin kepada UMNO.

“Masa depan parti ini adalah perkara yang membuatkan Tun tidak tidur lena.

“Kami sedar, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tunggangan politik berdekad-dekad lamanya,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.