STATUT ROM: ALASAN PH MENJENGKELKAN

Alasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik diri daripada perjanjian Statut Rom konon kerana rakyat mengalami kekeliruan akibat dihasut pembangkang dilihat sangat menjengkelkan.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil berkata alasan yang jelas dibuat semata-mata demi menutup kegagalan PH itu turut disifatkan sebagai lemah berikutan kerajaan PH tidak pernah mengambilkira tentang rakyat untuk membuat sesuatu tindakan atau dasar pada sebelum ini.

“Jika beliau (Tun Mahathir) rasa rakyat keliru tetapi beliau dan Kabinet yakin dengan Statut Rom, maka berilah penerangan kepada rakyat seperti kebiasaan tugas pemimpin kerajaan dan para menteri.

“Tambahan lagi Statut Rom ini baru sahaja ditandatangani tidak sampai dua bulan lepas dan masih ramai rakyat yang belum tahu secara terperinci berkenaannya.

“Oleh itu alasan yang diberikan Tun Mahathir apabila menarik diri dari Statut Rom tersebut adalah tidak benar, tidak masuk akal dan tidak boleh diterima,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Isham mendakwa alasan sebenar disebalik penarikan tersebut jelas berkaitan dengan perdana menteri serta menteri kabinet beliau sendiri yang turut tidak yakin dengan perjanjian tersebut yang lebih membawa malapetaka kepada kedaulatan negara.

Katanya pimpinan PH sendiri menyedari tindakan menandatangani perjanjian Statut Rom tanpa meminda Perlembagaan dan merujuk Majlis Raja-raja Melayu merupakan satu kesalahan berat.

“Jika perkara ini tersebar kepada umum maka bukan sahaja mereka boleh didapati bersalah dan dihukum di bawah Undang-undang Negara, tetapi rakyat dan institusi Raja-raja Melayu juga akan ‘menghukum’ mereka.

“Kesalahan ini adalah kritikal dan besar akibat daripada keangkuhan mereka sendiri yang sanggup menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing tanpa rasa malu.

“Rakyat dan negara akan rugi dengan kerajaan dan pemimpin yang sebegini,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.