JANGAN TERMAKAN PERANG PSIKOLOGI LAWAN

Calon Barisan Nasional (BN) BAGI Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan pengundi untuk tidak terpedaya dengan dakwaan mengatakan BN akan menang mudah di Rantau.

Beliau berkata dakwaan tersebut merupakan perang psikologi daripada pihak lawan untuk memberi gambaran bahawa pengundi luar Rantau tidak perlu pulang untuk mengundi.

“Ada kempen dan cakap-cakap bahawa BN akan menang besar. Saya yakin ini adalah perang psikologi yang dibuat parti lawan untuk memberi gambaran bahawa pengundi luar tidak perlu balik. Ini adalah cara mereka menjejaskan peluang saya dalam PRK ini.

“Sehingga kini, saya masih katakan bahawa peluang saya untuk menang adalah 50/50 dan jentera BN perlu bertugas dan berusaha hingga pukul 5.30 petang Sabtu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau, Negeri Sembilan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad Hasan yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata jumlah pengundi yang tinggal di luar Rantau agak ramai.

“Sebagai contoh, daripada lebih 11,000 pengundi Melayu, lebih 4,000 orang atau 30 peratus tinggal di luar kawasan DUN ini. Saya harap mereka akan balik dan memberi sokongan kepada saya pada Sabtu ini,” ujarnya.

PRK DUN Rantau yang dijadualkan berlangsung pada 13 April ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad Hasan dari BN dan S. Streram dari Pakatan Harapan (PH) serta dua lagi calon bebas.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.