GESAAN PERKUKUH AKTA HASUTAN

Wanita UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneliti semula undang-undang berkaitan akta hasutan bagi mengekang tindakan biadap menghina institusi diraja.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, undang-undang khas pelu digubal secepat mungkin berikutan beberapa pengguna media sosial dengan berani memuat naik status, gambar serta komen yang menghina institusi Raja-raja Melayu.

“Justeru, peruntukan dalam Akta Hasutan yang sedia ada perlu diteliti dan diperkukuhkan lagi bagi mengekang penghinaan terhadap raja berleluasa.

“Kita tidak mahu penularan budaya menghina institusi raja dalam kalangan pihak tertentu akhirnya menjadi virus dan rakyat terus dihasut membenci Raja-raja Melayu,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Noraini yang juga ahli Parlimen Parit Sulong turut berkongsi kes terbaharu pembuli media sosial yang jelas telah menghina Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah sekali gus membangkitkan kemarahan masyarakat.

Beliau berkata masyarakat perlu memahami kepentingan institusi raja yang berperanan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini serta mendokong prinsip-prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, pada masa sama, kerajaan boleh menjadikan Thailand sebagai contoh dalam mengambil tindakan terhadap individu yang menghina institusi beraja dengan undang-undang Les Majeste seperti diamalkan di negara berkenaan.

“Hanya dengan hukuman yang tegas dan setimpal, dapat menjadi pengajaran agar perkara itu tidak berulang di masa depan,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.