ISU ECRL: GERAKAN MINTA PENJELASAN KERAJAAN

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan mengenai keputusan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata masih banyak perkara berkaitan projek tersebut yang kabur dan memerlukan pencerahan bagi mengelakkan berlakunya sebarang polemik pada masa akan datang terutamanya impak penangguhan projek tersebut kepada pihak terlibat.

“Bagaimana pengurangan kos akan memberi impak kepada projek itu? Adakah kos yang dikurangkan akan mengurangkan tahap keselamatannya?

“Bagaimana dengan pampasan kepada begitu banyak syarikat dan individu yang terkesan dengan proses tender semula serta penangguhan projek itu?” soal Dominic melalui kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Dominic menegaskan kerajaan tidak sepatutnya mengambil kredit daripada pengurangan kos projek itu kerana pampasan yang disebabkan penangguhan dan proses tender semula projek itu pasti menyebabkan penjimatan tersebut sia-sia.

Terdahulu, pejabat Perdana Menteri melalui kenyataan lain pada Jumaat mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos yang lebih rendah selepas kerajaan Malaysia dan China melakukan rundingan selama beberapa bulan.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.