JANGAN UBAH SISTEM – KHALED

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi peluang kepada Tun Dr. Mahathir untuk menjadikan isu Menteri Besar Johor sebagai alasan untuk mengubah sistem sedia ada.

Khaled berkata beliau percaya isu tersebut berlaku untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.

“Adakah isu ini digunakan Tun Mahathir untuk mengalih tumpuan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan PH atau beliau cuba menggunakan peluang itu atas perkara yang samar dan tidak jelas supaya membolehkan perlembagaan dipinda atau mengubah sistem yang diamalkan selama ini.

“Jadi, saya ingin tegaskan, jangan beri alasan kepada Tun Mahathir pinda perlembagaan kerana beliau sememangnya dahagakan peluang tersebut sekali gus semua pihak perlu pastikan sistem yang kita ada selama ini boleh dipakai, jawapan kepada semua persoalan ada termaktub dalam perlembagaan,” katanya memetik laporan Utusan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata Sistem Raja Berperlembagaan perlu dihormati oleh semua pihak termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Khaled berkata beliau percaya kemelut antara pemerintah negeri dan kepimpinan pusat dapat diatasi dengan baik sekiranya semua pihak akur kepada perlembagaan yang telah menggariskan kuasa semua pihak.

“Negara kita mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan, maknanya selain daripada wakil rakyat dan pemimpin politik, kita juga ada peranan Raja-Raja. Jadi kita perlu lihat kepada perlembagaan, kalau kita semua patuh dan hormat, krisis itu tidak akan berpanjangan.

“Kita khuatir jika sistem itu tidak dihormati, rakyat mungkin akan terfikir untuk ada sistem lain. Oleh itu, semua pihak baik Sultan Johor mahu pun Dr. Mahathir perlu memastikan sistem yang kita sudah amalkan selama ini berjalan dengan baik,” katanya

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.