SEGERAKAN BANTUAN RAKYAT

Blok pembangkang Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyegerakan bantuan kepada rakyat terutamanya dalam isu pembinaan semula rumah penduduk yang terbakar di Juasseh, Kuala Pilah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim berkata masalah berkaitan rakyat perlu ditangani dengan secepat mungkin memandangkan sambutan bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Ismail berkata perkara tersebut dibangkitkan berikutan penduduk yang terlibat dalam tragedi kebakaran telah menunggu bantuan hampir satu tahun daripada kes tersebut berlaku.

“Semalam saya dimaklumkan, sebanyak RM33,000 telah diluluskan oleh menteri besar (MB). Saya harap ia akan ambil masa cepat sebelum raya, supaya keluarga itu dapat rumah baharu yang selesa.

“Walaupun ia berita baik tapi tempohnya panjang, saya timbulkan masalah ini pada sesi Julai tahu lalu, sudah hampir setahun. Ini jadi ingatan kepada semua bahawa kita di sini untuk beri khidmat dan jaga rakyat.

“Akan datang luluskan lebih awal. Boleh lantik Setiausaha Kerajaan Negeri mempengerusikan jawatankuasa masalah rakyat seperti kerajaan dulu buat. MB mungkin sibuk untuk bangunkan negeri dan mesyuarat,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah diraja sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di Seremban pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut membangkitkan isu mengenai elaun bekas ketua kampung dalam era pemerintahan BN yang masih tertunggak sehingga hari ini.

“Apabila Pakatan Harapan ambil alih kerajaan negeri pada Mei tahun lalu, tak ada siapa ambil tahu urusan kampung. Ketua kampung sebelum ini diminta untuk lanjutkan khidmat selama sebulan sehingga Jun.

“Tetapi elaun mereka dibayar setakat Mei, masih belum dibayar sebulan lagi. Seperti kita maklum kewangan negeri mantap dan mereka tanya saya berhubung elaun itu.

“Saya bangkitkan di dewan kerana harap ia diselesaikan segera. Saya sudah tanya isu ini dua kali, tak manis kalau tanya buat kali ketiga. Harap mereka dapat elaun, tak perlu saya tanya pada sesi akan datang,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.