AHLI AKADEMIK KANGKUNG: MENTERI MALUKAN DIRI SENDIRI

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dilihat merendahkan penghormatan sebagai seorang menteri apabila menggelar ahli akademik yang bertentangan dengan keputusan meratifikasi Statut Rom sebagai kangkung.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata Saifuddin perlu menyedari semua pihak mempunyai hak untuk memberikan pendapat mengenai isu tersebut kerana perjanjian tersebut memberi impak besar kepada negara.

Katanya, pandangan ahli akademik wajar diberi perhatian memandangkan mereka merupakan golongan profesional yang lebih arif mengenai perjanjian Statut Rom.

“Rumusan yang disediakan oleh empat orang ahli akademik yang terbabit adalah berbentuk pendapat semata-mata dan rumusan mereka ini akhirnya diguna pakai oleh Majlis Raja-Raja dalam membuat keputusan. Sudah pasti, Majlis Raja-Raja telah memanggil pelbagai pihak untuk memberikan pendapat masing-masing.

“Namun sayangnya, rumusan yang dibuat oleh keempat-empat ahli akademik tersebut dianggap telah mengelirukan Majlis Raja-Raja sehingga menyebabkan Majlis Raja-Raja menitahkan Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan ratifikasi Statut Rom.

“Menteri harus sedar bahawa semua pihak mempunyai hak untuk memberikan pendapat mereka. Termasuk empat orang ahli akademik ini. Mereka terdiri daripada pensyarah-pensyarah yang amat disegani dengan pengalaman masing-masing. Adakah apabila ada pihak yang memberikan pendapat bercanggah dengan keputusan Kerajaan maka terus akan dianggap sebagai mengelirukan dan kelayakan mereka disamakan pula dengan ‘kangkung’?” ujar beliau melalui kenyataan media pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Aizat berkata kenyataan Saifuddin turut menunjukkan wajah sebenar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang hipokrit kerana blok tersebut dahulunya sering melaungkan hak kebebasan bersuara namun menolak pandangan pihak lain setelah menjadi kerajaan.

“Tapi tindakan Menteri menggelar mereka ‘profesor kangkung’ jelas menunjukkan kebebasan bersuara seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah dikuburkan, dulu konon subur… sekarang masuk kubur.

“Maka, kepada Saifuddin, eloklah anda dengan secara terhomat sedar diri dan ambil langkah yang akan dihormati untuk menarik balik gelaran ‘kangkung’ ini dan seterusnya saya juga menyarankan anda untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Luar Negeri kerana kegagalan anda bukan sekali tapi dua kali dalam usaha Kerajaan Malaysia meratifikasi ICERD dan Statut Rom,” tegas beliau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.