TOMMY : SILA LETAK JAWATAN

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meletakkan jawatan secara terhormat berikutan tindakan beliau yang terang-terangan bersubahat dalam menghina institusi Raja-Raja Melayu dalam sebuah forum awam.

Ketua Pemuda UMNO,Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata gesaan tersebut merupakan tindakan wajar kerana Tommy gagal mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan membelakangi kerajaan Malaysia yang telah mengambil keputusan menarik kembali ratifikasi Statut Rom.

“Sebab itulah adalah lebih beretika jika Tommy Thomas meletakkan jawatan selaku Peguam Negara sebelum dipecat oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (DYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong.

“Desakan Pemuda UMNO ini adalah munasabah malah amat selari dengan peruntukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Bagi Pemuda UMNO, Tommy Thomas sudah tidak layak memegang jawatan Peguam Negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat bahkan langsung tidak mempertahankan Raja-Raja Melayu tatkala panelis Forum menyalahgunakan kebebasan bersuara yang mereka miliki untuk menukar forum awam ini menjadi satu medan terbuka untuk membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu di hadapan Peguam Negara tersebut,” tegasnya ketika mengulaa mengenai Forum Awam Malaysia dan Statut Rom yang diadakan di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya itu.

Mengulas lanjut, Asyraf turut menyenaraikan tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja Melayu.

“Pertama, mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.

“Kedua, mendakwa Raja-Raja Melayu dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British.

“Terakhir, mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, Asyraf berkata Tommy sepatutnya tidak perlu menghadiri dan bersekongkol dengan panelis forum tersebut untuk menghasut dan menghina institusi Raja-Raja Melayu.

“Sewajarnya Peguam Negara tidak perlu hadir bersekongkol bahkan sepatutnya menasihatkan penganjuran forum awam ini dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan kabinet memutuskan bahawa kerajaan Malaysia akan menarik balik ratifikasi ke atas Statut Rom,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.