UTAMAKAN RAKYAT DARI PEMIMPIN BERGELUT ISU PERIBADI – KHAIRY

 

 

UMNO perlu mengutamakan kemaslahatan rakyat terutamanya kaum Melayu berbanding beberapa orang pemimpin yang sedang bergelut dengan isu peribadi.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata justeru, parti terbesar kaum Melayu itu perlu terus bergerak ke hadapan dengan kekal dipimpin oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah berjaya membuktikan kemampuan beliau.

Khairy turut berkata walaupun beliau menghormati Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemimpin, namun UMNO perlu berhadapan dengan realiti bahawa era pimpinan kedua-duanya telah berlalu.

“Parti yang sedang dipimpin Tok Mat (Mohamad) kini berada dalam landasan yang tepat walaupun mungkin proses perubahan itu tidak dapat beliau laksanakan dengan sepenuhnya kerana terpaksa berdepan pilihan raya kecil.

“Saya hormat kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Ahmad Zahid) tetapi zamannya sudah berlalu tetapi alhamdulillah apabila saya menegurnya dalam hal ini, Datuk Ahmad Zahid mengambil langkah bercuti,” katanya dalam program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di Shah Alam pada Isnin.

Mohamad Hasan berjaya membuktikan ketokohannya dalam memberikan semangat baharu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pasca kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu apabila berjaya memimpin parti untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.