INSTITUSI DIRAJA JADI ELEMEN SEMAK IMBANG – KHALED

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan setia kepada institusi diraja dan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara perlu bergerak seiring.

Katanya kedua-dua perkara yang merupakan asas dalam kewujudan negara itu tidak perlu dipersoalkan kerana ia menjadi semak dan imbang yang perlu sentiasa wujud dalam Malaysia.

“Negara kita amalkan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Ia menjadi asas kepada kewujudan negara kita. Jadi tidak wajar persoalkan mana satu yang atasi yang lain. Apabila wujud kedua-duanya, ia menjadi elemen semak dan imbang serta perlu ada dalam negara pada hari ini.

“Kerajaan dan raja-raja perlu patuh pada perlembagaan negara. Kalau kedua-dua pihak hormati dan ikut, saya percaya kita tidak akan hadapi masalah.

“Kita sejak dari awal sudah terima hakikat negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya melalui program bual bicara di media sosial pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata beliau memahami wujud keadaan tidak selari antara keputusan kerajaan dan pihak istana.

Walaubagaimanapun beliau menegaskan perkara tersebut perlu diselesaikan dengan rasional bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri tidak terganggu.

“Tidak dinafikan ada kalanya berlaku keadaan di mana pandangan pusat, negeri dan pandangan pihak istana tidak sama, malah ada yang bercanggah ataupun langsung tidak dipersetujui. Memang ada pandangan pusat tidak diterima istana.

“Saya laluinya secara peribadi namun perlu lakukan perimbangan untuk pastikan walaupun wujud perbezaan pandangan ia tidak mengancam perjalanan pentadbiran kerajaan di peringkat negeri. Namun tidak bermakna pusat dan istana tidak boleh bekerjasama,” katanya yang turut menambah kegagalan seseorang menteri besar melakukan imbangan dalam berkomunikasi sebagai penghubung antara istana dan kerajaan persekutuan, akan menyebabkan masalah jadi lebih buruk.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.