TIADA PERUBAHAN POSITIF – PAS

 

 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) langsung tidak memberikan sebarang perubahan positif terutamanya dalam aspek meringankan bebanan kos sara hidup rakyat walaupun telah memegang tampuk pemerintahan negara selama satu tahun.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata perkara tersebut berlaku akibat tindakan PH sendiri yang tidak memandang serius terhadap janji-janji yang diketengahkan kepada rakyat sebelum ini.

“Rata-rata rakyat kategori pertengahan dan bawahan mengeluh dengan suasana ekonomi yang muram, apatah lagi perkara berkaitan pengangguran pekerjaan, pendidikan percuma dan harga rumah yang melambung tidak ditangani dengan baik,” katanya kepada media di Alor Setar pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fakhruddin berkata kegagalan menepati janji selain beberapa polisi yang dilihat tidak menjamin kedudukan sosial rakyat khususnya berkaitan isu memelihara serta memartabatkan Islam turut menggusarkan.

Tambah beliau, ‘pencapaian’ 365 hari PH memerintah juga menjadi jenaka apabila terdapat dalam kalangan menteri yang memberi penarafan gred untuk diri mereka sendiri bagi menilai prestasi kerja.

“(Mereka) umpama seorang pelajar yang membuat soalan, kemudian dia menanda kertas, meletakkan markah dan dialah juga yang tandatangan buku rekod kemajuan sendiri,” katanya.

 

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.