TERIMA KASIH ATAS KESETIAAN-KHALED NORDIN

Walaupun UMNO kini bukan lagi sebagai parti pemerintah, namun kesetiaan ahli parti amat dihargai, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau turut berharap ahli UMNO untuk bersama memainkan peranan aktif dalam menjadikan parti kekal sebagai wadah perjuangan kaum Melayu.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli-ahli UMNO yang masih Bersetia dengan parti, yang masih kekal berjuang walaupun dalam keadaan UMNO kuat dan lemah, baik dan buruk serta ketika berjaya dan tidak berjaya.

“Kedua, saya berharap ahli-ahli parti bersama memainkan peranan untuk membangunkan parti. Saya harap kita semua akan dapat pastikan parti kita ini kekal sebagai parti yang dipercayai orang Melayu khususnya.

“Saya juga berharap kita dapat bangunkan keyakinan ahli-ahli parti supaya menjadikan parti kita medan utama perjuangan bagi orang-orang Melayu,” katanya kepada media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sempena menyambut ulang tahun UMNO ke-73 11 Mei ini.

Dalam perkembangan sama, Khaled berkata beliau turut berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dari segi sumbangan dan pengorbanan kepada UMNO.

“Usaha untuk menjaya dan memperjuangkan parti bukanlah hanya melalui seruan dan mengajak tetapi ia juga bergantung kita semua untuk sama-sama menyumbang, berkorban jiwa dan raga serta sahaja yang kita ada kerana kitapun faham keadaan parti kita pada hari ini.

“Perjuangan kita masih panjang… Insya-Allah jika kita bersama dan bersatu saya percaya akan mencapai matlamat kita,” katanya.

 

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.