KIT SIANG CUMA MAIN WAYANG

Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bersara daripada politik jika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah satu ‘wayang’, ujar Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau berkata veteran DAP itu sepatutnya bersara dengan segera sekiranya ikhlas untuk meluahkan ketidakpuasan hati beliau terhadap pimpinan Dr. Mahathir pada ketika ini.

“Oleh itu, Kit Siang digesa berhenti berwayang, sepertimana beliau juga membuat wayang apabila berjanji bahawa DAP akan menyemak dan mengimbang Dr. Mahathir, dan juga akan menyiasat semula skandal-skandal yang berlaku di bawah pemerintahan Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat selama 23 tahun.

“Tetapi, tindakan Kit Siang mengugut bersara memang selari dengan sikapnya selama ini, iaitu untuk mewujudkan masalah dan membiarkan orang lain ‘membersihkannya’.

“Sebelum ini DAP di bawah kepemimpinannya telah menghasut rakyat membenci Dr. Mahathir, alangkah terkejutnya rakyat apabila mereka sanggup bekerjasama dengan diktator ini semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Lian Ker juga berkata negara tidak akan merasakan sebarang kerugian sekiranya Kit Siang bersara kerana ahli Parlimen Iskandar Puteri itu tidak memainkan peranan sebagai ahli politik dengan baik.

“Hakikatnya, DAP yang mengembalikan seorang diktator kepada pucuk pimpinan negara atas ketamakan kuasa mereka sendiri. Ia jelas dilihat bahawa Kit Siang memang tidak memainkan peranannya dengan baik, dan negara tidak akan kehilangan atau rugi jika beliau masih kekal ataupun bersara.

“Jadi, Kit Siang digesa berhenti membuat wayang mahu bersara atau lebih baik lagi menunaikan janjinya untuk menyiasat semula skandal-skandal yang didakwa berlaku di bawah (pemerintahan) Dr. Mahathir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.