MENANTU HADI PILIH JALAN KEDUA

Bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharuddin Muhammad tampil mempertahankan tindakannya mendedahkan lima nama pemimpin parti yang terlibat dengan ‘kartel dedak’ yang menerima wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Zaharuddin yang juga menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tindakan yang dibuat tersebut bertujuan bagi mengelakkan pimpinan PAS daripada sebarang penyelewengan fakta yang membahayakan pada masa akan datang.

Berikut merupakan kenyataan penuh Zaharuddin:

Jadi dua pilihan yang perlu saya pilih, sama ada:

  1. Abaikan persepsi ramai dakwaan YBNA (dipercayai Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz) dan cybertrooper mereka bahawa mendedak itu adalah projek yang direstui Presiden dan Majlis Syura Ulama (MSU). Jadi saya bangkang senyap sahaja dan kesannya ahli PAS, rakyat dan umum melihat bahawa perbuatan mendedak ini adalah perbuatan Presiden PAS, MSU dan pimpinan tertinggi. Akhirnya bijak mendedak dianggap sebagai bijak berpolitik.

Jika pilihan ini dibuat, kesan lebih besar boleh berlaku adalah jika UMNO dan kes SRC International Sdn. Bhd. dan seumpamanya tersangkut, terutamanya dengan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa), maka bukan sahaja UMNO dan Datuk Seri Najib akan dihukum, bahkan PAS dan kepemimpinan Pas boleh tersangkut sekali.

Jika Kerajan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu sabitkan dengan bukti sekalipun, tetapi cukup mereka gunakan kenyataan YBNA dan sekutunya yang bersungguh-sungguh mendakwa keterlibatan kepemimpinan tertinggi dengan mendedak sebagai alasan untuk menangkap kepemimpinan PAS. Lagikan tragedi Memali mereka boleh bunuh tanpa alasan yang kuat, apatah lagi dengan isu ini.

Pada waktu itu, kita hendak menafikan keterlibatan kepemimpinan dan MSU dengan mendedak malah hendak kata mereka fitnah pimpinan pas terlibat dengan Amlatfa (dedak)? Sedangkan hari ini kartel dedak dan cyber trooper kita (yang prodedak) galak dan bersungguh-sungguh pertahankan mendedak itu harus dan dibuat oleh pimpinan tertinggi melalui kenyataan pintu-pintu YBNA serta menghentam saya yang berusaha menafikan dakwaan tersebut?

  1. Atau pilihan kedua ialah dedah sekarang sebelum terlambat.

Kesannya mereka-mereka yang sayangkan jemaah dan tidak suka orang mengkritik parti terbuka marahkan tindakan saya. Tetapi saya yakin untuk jangka panjang PAS akan lebih selamat jika berlaku sabitan sebagaimama saya sebutkan di atas, justeru Kerajaan PH suka berhukum dengan persepsi media bukan dengan mahkamah yang telus.

Antara dua pilihan ini, saya pilih yang kedua kerana ini juga pilihan saya dan rakan pimpinan waktu berlawan dengan ‘jebon’ dahulu. Bukan sahaja media sosial seperti blog (waktu itu Facebook belum meluas) digunakan, bahkan media musuh turut dimanfaatkan pada waktu itu justeru harakah 100 peratus dikuasai ‘jebon’ dan lebih 12 laporan disiplin dibuat tanpa satu tindakan pun dibuat. Yang urus dengan media musuh bukan saya bahkan pimpinan kartel dedak hari ni (tak perlu sebut nama).

Pilihan pertama dibuat selama tiga tahun sejak 2006 hingga 2009 tetapi gagal. Daripada mereka menguasai sekitar 50 peratus Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pada 2006 sehingga mereka menguasai sekitar 80 peratus, majoriti perwakilan kawasan dan pos-pos penting seperti timbalan presiden, hampir semua naib-naib presiden, Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) dan lain-lain.

Selepas pilihan kedua dibuat, enam kali saya debat terbuka dengan pimpinan ‘jebon’ waktu itu; Khalid Abdul Samad isu kerjasama dengan DAP di Shah Alam, Dr. Zulkifley Ahmad isu kepentingan hudud di Klang, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof isu kedudukan bukan muslim di Dewan Himpunan Cina, Mohamed Hanipa Maidin isu Hudud di Pandan serta dua lagi dengan kepemimpinan pemuda di peringkat program parti.

Kemuncaknya adalah demonstrasi ‘Hawai Five O’ di hadapan Pejabat Agong PAS. Pilihan ini dibuat disebabkan semua media dan instrumen dalam tertutup. 12 laporan disiplin dibuat tetapi ditong sampahkan. Mereka menembak Presiden menggunakan proksi seperti Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan lain-lain.

Saya cukup yakin keterlibatan mereka disebalik Pasma sebab ada beberapa Unit Risikan (SB) yang saya hantar masuk dalam kumpulan mereka seperti Pasukan ‘Hawai Five O’. Masalahnya pada waktu itu, ahli PAS bukan setakat tidak tahu wujudnya gerakan ‘jebon’, tetapi mereka melihat kepemimpinan ‘jebon’ ini ‘Mr. Clean’ dan amilin hebat. Sangat sukar untuk meyakinkan ahli PAS dengan gerakan dalaman mereka dengan hanya bercerita.

Waktu itu saya dikenakan tohmahan pemecah belah parti justeru kerap dilihat berlawan dengan kepemimpinan ‘jebon’ secara terbuka. Tulisan ular daun dan tulisan Hudud yang kontra terbuka dengan pimpinan ‘jebon’ waktu itu secara terbuka mengundang perasaan menyampah ahli PAS kepada saya.

Bukan sahaja penulis blog ‘jebon’, tetapi media musuh seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian turut dilihat mengambil peluang mengapi-apikan pertembungan saya dan ‘jebon’.

Mereka tekan saya melalui tekanan kepada tok guru dengan soalan provokasi media yang pro kepada saya. Tetapi saya perlu cekal, justeru kawan kepemimpinan lain (terutamanya pemimpin kartel) tak berani untuk lawan terbuka sekalipun mereka berpendapat perlu kontra secara terbuka.

Ramai ‘antijebon’ hatta peringkat cawangan tak berani hendak bantu saya dengan komen pimpinan ‘jebon’ dalam blog kerana akan dikritik oleh cawangan dan kawasan masing-masing kerana menyokong kekecohan dengan menyerang kepemimpinan jebon) pada waktu itu.

Masa 2009 saya membuat pilihan pertama di atas sehingga membentuk lebih 570 penyokong muktamar pada 2015, iaitu enam tahun selepas itu.

Pilihan pertama paling berduri dan perlukan kecekalan dan ketabahan serta ketahanan. Semoga Allah membantu dan meletakkan saya dalam landasan istiqamah dan dimasukkan dalam kalangan solihin dan mujahidin yang syuhada.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.