ZAHARUDDIN DICABAR KEMUKA BUKTI

Bekas ahli Majlis Syura PAS, Zaharuddin Muhammad dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) turut terbabit dalam isu `kartel dedak’.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Zaharuddin perlu jujur dan tampil dengan bukti kukuh, bukannya cuba mengheret Amanah ke dalam kemelut yang melanda parti PAS pada ketika ini.

Katanya beliau hairan dengan tindakan ahli PAS itu yang mencetuskan kontroversi mengenai isu berkenaan sehingga menimbulkan kekeliruan kalangan masyarakat termasuk turut mengaitkan bapa mertuanya sendiri iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dalam isu tersebut.

“Pada saya, amat aneh dan pelik dengan pendedahannya (Zaharuddin) mengenai `kartel dedak’ tempoh hari setelah mendapat restu bapa mertuanya (Abdul Hadi), dalam hal ini kredibilitinya (Zaharuddin) dipersoalkan.

“Ini kerana, Abdul Hadi dalam maklum balasnya selepas itu telah menafikan kenyataan Zaharuddin malah Abdul Hadi menegaskan yang beliau tidak restu. Keliru, mana yang betul,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kuala Terengganu pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Raja Kamarul Bahrin berkata beliau tidak menolak kemungkinan pendedahan itu dibuat ekoran masalah dalaman yang dihadapi PAS sekarang bagi menyingkirkan kepemimpinan tertinggi parti itu.

“Pada bulan yang mulia ini (Ramadan) kita mesti cermat jaga lidah dan mulut kita dan Zaharuddin mesti mempunyai sebab dan maklumat kukuh untuk buat kenyataan.

“Saya juga pelik kenapa dia kaitkan Amanah dalam isu ini. Kalau ada bukti kukuh (Amanah terlibat), tunjukkan bukti itu,” katanya.

Terdahulu Zaharuddin mendedahkan wujud ‘kartel dedak’, dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam PAS yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.