GERAKAN SOKONG PERATURAN SPR

Tindakan tegas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan anggota Kabinet menjalankan aktiviti berkempen dalam mana-mana pilihan raya ketika waktu bekerja disokong oleh Gerakan.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, peraturan SPR itu munasabah dan wajar bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan sumber awam.

“Masyarakat tidak membayar menteri dan pegawai awam untuk menyertai kempen pilihan raya atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik ketika waktu bekerja.

“Justeru, SPR digesa supaya tidak perlu gusar dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin kerana anggota Kabinet sepatutnya mengambil cuti jika mahu mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Dominic berkata pimpinan politik terutamanya PH wajar menyokong peraturan yang diumumkan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson lalu kerana perkara tersebut selaras dengan prinsip Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Pemimpin-pemimpin PH sebelum ini sering menekankan mengenai pemisahan politik dengan tadbir urus kerajaan, justeru ia perlu dilaksanakan kerana hari ini mereka telah menjadi kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH meluahkan rasa tidak puas hati dengan peraturan SPR yang melarang anggota Kabinet daripada menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada pilihan raya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.