PEMIMPIN PH SUDAH PANDAI BERMEWAH – ANWAR

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) kini dilihat mula mempamerkan kemewahan dan kekayaan melampau seperti pimpinan kerajaan terdahulu.

Perkara tersebut ditekankan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengingatkan perkara tersebut perlu ditegah sebelum menjadi semakin parah.

“Baik sahabat dalam parti dan majlis kena tegur kerana orang yang berkuasa itu dengan sekelip mata, kadang-kadang limpahan kekayaan menonjol sekali.

“Bukan sahaja dalam Barisan Nasional (BN), tapi dalam Pakatan Harapan (PH) nampak bibit sedemikian. Baru lagi pegang jawatan, nampaknya luar biasa cara hidup dan perbelanjaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengulas lanjut, Anwar berkata perkara tersebut akan menimbulkan kritikan yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa.

Katanya, rasuah dan kekayaan melampau dalam kalangan keluarga pimpinan politik merupakan perkara yang sangat ditegah dan ditekankan kepada penyokong PKR dan PH.

“Ini berlaku dalam pimpinan PH. Peringatan saya supaya masyarakat madani agar tidak sesekali meremehkan dengan tanggapan dia sahabat kita, dia pemimpin kita, kalau dia kaya melimpah tidak apa, ini kabilah assabiyah yang patut ditinggalkan,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.