POLITIK DALAM MASJID : SULTAN JOHOR MURKA

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah perbuatan ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong berucap dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, pada 10 Mei lalu sebagai tindakan biadap, dan tidak boleh diterima sama sekali.

Titah Sultan, perbuatan tersebut jelas melanggar arahan untuk tidak boleh berpolitik di dalam masjid.

Sultan Ibrahim turut bertitah tindakan ahli Parlimen DAP itu jelas meremehkan pegangan dan amalan agama Islam yang dibina sejak zaman berzaman di negeri tersebut.

“Tindakan Ahli Parlimen Labis ini telah mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam setempat serta umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perbuatan Ahli Parlimen tersebut dan mereka yang bertanggungjawab menganjurkannya telah mengguris perasaan umat Islam terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini di mana umat Islam dianjurkan untuk berkasih sayang dan mengelakkan perpecahan serta merapatkan saf dan perpaduan.

“(Ini) pencabulan serius terhadap kesucian masjid sekali gus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor Darul Ta’zim. Pelanggaran sempadan yang telah saya sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor gariskan sebelum ini apatah lagi larangan ini baharu sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Johor Bahru pada Khamis.

Baginda bertitah wujud pemimpin politik yang tidak sensitif terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sultan turut mengingatkan bahawa masjid merupakan zon bebas politik yang mendukung mana-mana parti sekalipun, titah baginda, masjid mesti dijadikan ruang bagi mereka yang mahukan ketenteraman jiwa serta suasana damai bagi mendekatkan diri kepada Allah.

“Anda boleh sahaja bercakap politik dan berbeza pegangan politik dari pagi hingga malam, dari kedai kopi ke hotel, dari tepi jalan ke puncak gunung bagi meraih sokongan tapi bukan di dalam masjid yang suci itu.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa kesucian masjid di Johor sentiasa terjaga dan bagi memastikan kesucian masjid itu, saya mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan kaedah dan mekanisma bagi memastikan masjid di Johor sentiasa dilimpahi dengan keredaan dan keampunan Allah serta ketenangan, kedamaian tanpa hiruk-pikuk politik,” titah Baginda.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.