PERPADUAN UMMAH TERAS PIAGAM UMNO – PAS

Piagam kerjasama UMNO dan PAS yang bakal dimeterai tidak lama lagi masih berteraskan agenda permuafakatan dan perpaduan ummah demi memelihara kepentingan rakyat dan agama Islam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata deklarasi piagam kerjasama rasmi yang akan dimeterai itu bakal meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua parti.

“Sebagaimana kita sebut dulu, muafakat kita (PAS – UMNO) ada tiga benda iaitu, pertama mana-mana pilihan raya kecil akan melibatkan satu lawan satu. Kedua, agenda Islam, untuk mempertahankan Islam dan ketiga, menyusun tindakan bersama dalam sidang Parlimen.

“Deklarasi (piagam UMNO-PAS) ini akan lebih daripada itu. Lepas raya, kita bermesyuarat untuk lihat piagam ini… Ke arah PRU-15 kita akan lihat nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Badar al-Kubra peringkat di negeri di Madinah Ramadan, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerjasama politik atau ‘tahaluf’ dengan UMNO perlu perlu perbincangan rapi dengan dibawa kepada Majlis Syura Ulama untuk diluluskan.

“Kalau kerjasama biasa tidak apa, dalam kerangka parti yang dibenarkan dalam perlembagaan parti.

“Kalau ada kerjasama panjang membabitkan ‘tahaluf’ kena bawa kepada syura dan pengalaman PAS walaupun syura luluskan macam masuk Barisan Nasional (BN) dulu, kita akan bawa dalam muktamar khas. Jadi ahli-ahli tak perlu bimbang,” katanya.

Beliau berkata draf awal piagam tersebut telahpun dilihat dan akan dibincangkan dalam jawatankuasa kerjasama induk kedua-dua parti.

“Ada dua jawatankuasa, jawatankuasa tertinggi (induk) dan jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa induk akan bermesyuarat tiga bulan sekali manakala jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat beberapa kali.

“Piagam yang disyorkan oleh jawatankuasa teknikal akan diangkat kepada jawatankuasa induk, selepas raya nanti kita akan mesyuarat lihat piagam ini.

“Saya sudah lihat piagam ini dan UMNO juga sudah tengok. Kena bahas dalam mesyuarat kedua-dua pihak,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.