AKMAL TIDAK SENSITIF

Tindakan ahli Parlimen PKR Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mengadakan Majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib, menunjukkan pemimpin PH itu tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata walaupun tujuan Akmal untuk mempererat perpaduan, namun tindakan tersebut jelas tidak wajar.

“Pemuda UMNO memahami hasrat Akmal untuk memupuk perpaduan antara masyarakat berbilang kaum, namun tidak kena dengan caranya. Kita sebagai bangsa Johor tidak lari dari bersikap toleransi dengan kemajmukan masyarakat Malaysia yang pelbagai.

“Dalam Islam bulan Ramadan ini dianggap sebagai bulan suci, bulan Allah SWT, apatah lagi ketika umat Islam berada pada 10 Ramadan terakhir. Apakah wajar pada bulan yang mulia ini umat Islam dibawa dan berbuka puasa di kuil Gurdwara Sahib?” katanya kepada media di Johor Bahru pada Selasa.

Beliau berkata terdapat banyak kawasan lain yang lebih bersesuaian untuk mengadakan majlis iftar dengan disertai oleh rakyat berbilang kaum.

“Sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh diadakan majlis sebegini seperti di masjid, surau, rumah anak-anak yatim, rumah orang tua atau di pusat khidmat beliau sendiri.

“Usaha memperkukuhkan dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta kepercayaan tidak wajar direalisasikan dengan perkara seperti ini.

“Saya berharap agar YB Akmal lebih cakna dan senstitif terhadap toleransi budaya dan agama sehingga tidak menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.