INKUES ADIB DIANGGAP KONSPIRASI

 

 

Inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan dianggap sebagai konspirasi sekiranya Peguam Negara, Tommy Thomas gagal mengetengahkan penjelasan meyakinkan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata perkara tersebut akan berlaku berikutan wujud spekulasi bahawa Syazlin telah diarahkan supaya mengundur diri selepas Tommy menghantar surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Ahmad Amzad, surat tersebut konon menyatakan peguam wanita itu telah memalukan pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Adakah kerana keterangan saksi Prof. Shahrom Abdul Wahid yang menyatakan punca kecederaan Allahyarham Muhammad Adib kerana ditarik keluar dan dipukul bertentangan dengan keterangan saksi pakar forensik?

“Semua mengetahui Syazlin berjaya menjejaskan kredibiliti pakar forensik apabila beliau mengelirukan mahkamah dengan mengemukakan formula pengiraan daya yang salah bahkan beliau turut mendakwa Allahyarham Muhammad Adib keluar sendiri daripada kereta bomba dan dihentak pintu van yang mengundur,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata dakwaan tersebut merupakan sesuatu yang serius kerana menjejaskan kepercayaan masyarakat awam terhadap keputusan inkues.

“Sudahlah sebelum ini Pejabat Peguam Negara menfailkan afidavit menyatakan Allahyarham Muhammad Adib tidak dipukul walaupun inkues masih belum selesai,” katanya.

Terdahulu, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JBPM serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Keputusan tersebut dimaklumkan sendiri oleh Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner pada prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner, Kuala Lumpur.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.