IBRAHIM ALI BIDAS SINDIRAN TUN M

 

 

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali membidas kenyataan Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyindir penubuhan parti politik baharu berteraskan Melayu dan bumiputera kerana boleh menyebabkan orang Melayu semakin berpecah.

Ibrahim Ali menegaskan beliau mempunyai alasan tersendiri mengenai penubuhan Putra dalam dakwaan beliau untuk menjaga kepentingan kaum Melayu.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ibrahim Ali:

Saya menyambut baik sindiran Tun Mahathir yang memberi komen bahawa penubuhan Putra adalah perkembangan baik kerana mengalakkan perpecahan orang Melayu.

Kalau ada 100 parti Melayu lagi baik jika ini yang dikehendaki oleh orang Melayu.

Putra ditubuhkan sebenarnya atas semangat dan contoh yang dimulakan oleh pemimpin-pemimpin yang menubuhkan PPBM atau Bersatu.

Parti Bersatu telah pun berjaya menghancurkan UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana itu yang dikehendaki oleh orang Melayu. Sebutlah apa sahaja alasan kerana ada pihak sentiasa bersikap orang lain sahaja tidak betul tetapi diri sendiri tidak pernah rasa bersalah.

Maka Bersatu telah mengorak langkah ke arah matlamat 100 parti orang Melayu.

Sebelum Bersatu yang mengambil langkah bijak menubuhkan parti bagi menjaga perpaduan orang Melayu ialah Amanah dan PKR. Malangnya Bersatu jatuh nombor tiga. Jika Putra jatuh nombor empat, masih ada 96 lagi parti orang Melayu patut ditubuhkan untuk mencapai 100 buah parti.

Bezanya, jika silap Putra ditubuh jika dibandingkan dengan Bersatu yang menjaga kepentingan orang Melayu ialah Putra tidak bersekongkol dengan DAP yang banyak jasa membina perpaduan rakyat Malaysia.

Banyak bezanya pemimpin Putra dengan yang lain-lain setakat ini ialah ‘bikin tidak seperti cakap’ dan pemimpin Putra tidak nampak gajah depan mata tetapi nampak kuman di seberang laut.

Perbezaan yang amat ketara ialah Putra baru ditubuhkan jika dibandingkan juga dengan Bersatu ialah Bersatu telah pun menyertai PRU-14 dan telah menyumbang peranan yang bermakna ke arah perpaduan Melayu. Hasilnya dapat kita lihat bersama di mana landskap politik negara telah berubah daripada Malaysia lama kepada Malaysia baharu. Hebatkan.

Yang perlu disindir ialah Putra walaupun baru dilahirkan. Belum pun lagi menyertai PRU-14 tapi jasanya begitu besar menyumbang ke arah perpecahan orang Melayu.

Di Malaysia sekarang banyak perkara aneh berlaku ibarat hujan naik ke langit.

Kata dulang paku serpih kerana mengata orang kita yang lebih. Salah dan buruk orang kita nampak tetapi diri sendiri sepanjang masa rasa betul ibarat mengajar itik berenang.

Buat apa yang saya suruh kerana saya sahaja yang betul. Orang lain tidak betul tapi saya sahaja yang betul. Tidak percaya tengok rekod.

Presiden Putra yang bernama Ibrahim Ali sentiasa dilihat tidak pernah betul sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya. Bersifat konsisten dengan pendirian adalah sebesar-besar kelemahan pimpinan Putra tetapi akan menyelamatkan kepentingan orang Melayu, perjuangan orang Melayu dan perpaduan orang Melayu yang sebenarnya.

Siapa dan parti manakah sudah berjasa kepada perpaduan orang Melayu setelah menang sorak kampung tergadai. Sudah pasti tidak Putra yang baru lahir.

Amalan kepimpinan pecah dan perintah sebenarnya menjadi punca perpecahan dan bukan banyak Parti. Demikian kata-kata hikmat Pak Ibrahim Ali pahlawan Melayu terakhir.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.