PASTIKAN PERBICARAAN INKUES ADIB TELUS

 

 

Ketelusan dalam perbicaraan inkues punca kematian Muhammad Adib wajar diwujudkan tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam prosiding, ujar Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata isu terbaharu melibatkan pengunduran diri peguam Syazlin Mansor dipercayai akibat campurtangan pihak lain dilihat menimbulkan keraguan terhadap keputusan inkues tersebut.

“Kita menyokong tindakan blok pembangkang yang menuntut supaya Perdana Menteri memecat Peguam Negara dan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ( RCI ).

“Perkara ini serius dan tepat kerana dilihat wujud elemen tidak percaya kepada prosiding inkues Muhammad Adib, disebabkan berlaku banyak tindakan campur tangan yang meragukan,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Shamsul berkata rakyat sedang meneliti kes perbicaraan inkues Muhammad Adib yang terkorban ketika bertugas.

Justeru beliau mengingatkan bahawa kemungkinan campurtangan pihak berkepentingan bakal mencetuskan keraguan munasabah terhadap keputusan perbicaraan tersebut.

“Dan apabila wujud percanggahan antara perakuan pihak polis dengan pejabat Peguam Negara, rakyat ingin tahu apakah yang sebenarnya berlaku.

“Sehubungan itu, sekali lagi ditegaskan, adalah tepat desakan dibuat supaya kes dikendalikan menerusi Suruhanjaya Siasatan DiRaja ( RCI ). Semua ini adalah demi keadilan dan ketelusan pengadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib serta menjaga keutuhan sistem perundangan dalam negara ini,” katanya.

 

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.