AHLI POLITIK JANGAN KETERLALUAN-DMJ


Sikap segelintir ahli politik yang melakukan perkara di luar amalan kebiasaan serta tidak peka dengan sensitiviti umat Islam dikhuatiri mendatangkan perbalahan antara kaum dan masyarakat beragama di negara ini.

Dewan Muda Johor (DMJ) berkata tindakan populis ahli politik yang menggunakan agama demi kepentingan politik masing-masing mampu menggugat nama baik dan kesucian Islam.

“DMJ percaya di bawah slogan kerajaan Malaysia baharu, agama Islam sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’, ahli politik terutama daripada wakil rakyat kerajaan perlulah sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku dan perbuatan bagi memastikan keharmonian antara masyarakat, kaum dan agama di Malaysia terjamin.

“Di samping itu, kita juga perlu mengelakkan daripada memupuk sifat kebencian atau fitnah ‘membanjiri’ masyarakat kita hanya kerana perbuatan sesetengah ahli politik yang tidak bertanggungjawab dalam perbuatan mereka,” ujar DMJ melalui kenyataan pada Khamis.

Menurut DMJ, antara tindakan yang disifatkan tidak wajar seperti tindakan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong berucap di dalam Masjid Tenang Stesen di Labis serta tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menganjurkan majlis berbuka puasa dalam kuil agama Sikh di Gurdwara Sahib di Johor Bahru.

Selain itu, tindakan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit mengagih dan menyerah kit serta bantuan zakat kepada orang Islam di Pulau Pinang dan tindakan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham menganjurkan majlis buka puasa ala pesta di Selangor.

Dalam perkembangan sama, DMJ mengingatkan ahli politik supaya kembali kepada konsep kesederhanaan dan tidak berlebihan dalam berpolitik.

“Sebarang tindakan dan perlakukan yang keterlaluan atas nama ‘keterbukaan’ dan ‘liberalisme’ dan sengaja untuk melakukan ‘eksprimen sosial’ tanpa melihat kepada batas-batas norma dan agama dikhuatiri akan menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara.

“Dan kita tidak boleh membuka ruang tersebut kerana ia boleh menjadi ‘barah’ yang boleh menganggu gugat keamanan dan keharmonian di negara kita,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.