LAPORAN MALAYSIAKINI BERNIAT JAHAT-KHALED NORDIN

Laporan portal Malaysiakini yang bertajuk ‘Mat Hassan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib’ disifarkan sebagai tidak bertanggung jawab, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin.

Katanya, laporan yang memetik laporan Straits Times itu berniat jahat apabila mengaitkan beliau serta Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan melobi pindaan perlembagaan UMNO untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya ingin menegaskan bahawa laporan sedemikian adalah tidak benar dan fitnah sama sekali kerana, tidak ada cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa dan saya tidak pasti dari mana Malaysiakini mendapat maklumat itu sekali gus saya tuntut mereka membuat kenyataan serta penjelasan.

“Malaysiakini sepatutnya menghubungi saya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian, ia adalah perkara paling mudah untuk dilakukan. Malangnya, berita dan laporan tersebut dikeluarkan tanpa mendapat makluman dan ulasan daripada saya yang dipetik dalam laporan itu,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor percaya laporan Malaysiakini bukan sahaja berunsur fitnah, malah mengelirukan.

Katanya tidak mustahil portal tersebut seolah-olah dipandu pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Jadi, saya tuntut supaya laporan tersebut diturunkan serta merta. Ini adalah satu amalan yang sangat tidak beretika dan Malaysiakini tidak seharusnya menjadi dalang dalam menyemai kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.