BERBUKA DI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM BERTENTANGAN SYARAK

Tindakan melaksanakan ibadat di rumah ibadat bukan Islam termasuk berbuka puasa adalah bercanggah dengan konsep ibadat Islam yang ditetapkan syarak, ujar Mufti negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Beliau berkata tujuan utama sesuatu ibadat dilaksanakan ialah bagi mendekatkan diri kepada Allah di samping menyemarakkan syiar Islam.

“Mutakhir ini timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai isu berkaitan ibadat khusus orang Islam yang dilaksanakan di rumah ibadat orang bukan Islam seperti solat, berbuka puasa, tadarus, sahur dan seumpamanya.

“Berdasarkan nas-nas yang ada, Jabatan Mufti Negeri Kedah berpandangan bahawa melaksanakan ibadat khusus untuk umat Islam di rumah ibadat bukan Islam adalah makruh yang hampir kepada haram.

“Hal ini kerana implikasi perbuatan itu akan mengundang kemudaratan yang lebih besar berbanding maslahah ke atasnya,” katanya di Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Dalam perkembangan lanjut, beliau berkata ibadat Islam amat menitikberatkan kemuiaan dan kesucian termasuk dari sudut masa, tempat dan kualiti.

Justeru katanya suasana rumah ibadat bukan Islam yang dihiasi gambar patung yang dipuja, lambang dan tulisan yang bertentangan dengan roh Islam dikhuatiri mendatangkan perbuatan syirik kepada Allah.

“Contohnya, fadilat solat di masjid berbanding di tempat lain, fadhilat bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain yang terdapat rahsia-rahsia tertentu eksklusif untuk umat Islam sahaja,” ujarnya.

Kata beliau, pandangan tersebut juga selaras dengan konsep Maqasid Syariah yang amat dituntut dalam Islam iaitu memelihara agama serta kaedah Usuliyyah iaitu menolak kerosakan lebih utama daripada mencari kemaslahatan dan menutup pintu-pintu kemudaratan.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.