INKUES ADIB TIMBULKAN BANYAK PERSEPSI


Perkembangan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib kini menimbulkan lebih banyak persepsi apabila peguam Syazlin Mansor mengambil keputusan menarik diri daripada kes tersebut.

Pengamal Undang-Undang tempatan, Adnan Seman berkata alasan Peguam Negara, Tommy Thomas tentang keputusan Syazlin dipertikai berikutan pelantikan beliau selama ini sebagai peguam Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seolah-olah tidak dibincangkan daripada awal.

“Perkembangan yang berlaku mengejutkan kita kerana kenapa pada saat penghujung inkues, peguam Syazlin telah membuat permohonan balik untuk memanggil Prof Dr Shahrom, tiba-tiba ada surat mengatakan beliau perlu menarik diri.

“Dan lebih mengejutkan apabila YB Zuraida, Menteri KPKT mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian sebenarnya telahpun diwakili oleh Peguam Negara…jadi apabila telah diwakili oleh Peguam Negara tidak ada keperluan untuk diwakili oleh peguam ‘private’ iaitu Syazlin Mansor?

“Ini menimbulkan satu perkara yang pelik… kenapa Syazlin dilantik daripada awal dan isu perlantikan Syazlin tidak dibincangkan dan tidak dikenalpasti daripada awal,” katanya kepada media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Katanya persoalan turut timbul apabila Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan affidavit pada saat inkues masih berlangsung.

“Lebih malang lagi apabila pihak Jabatan Peguam Negara telah pun mengeluarkan afidavit dan sebelum inkues ini selesai serta sempurna dilaksanakan. Bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh mengeluarkan satu afidavit mengatakan Allahyarham Mohd Adib tidak dipukul. Jadi bagi saya ini satu perkara yang sangat tidak wajar berlaku sebabnya inkues masih lagi berjalan,” katanya.

Justeru beliau berkata punca kematian anggota bomba tersebut perlu dinilai dengan telus dengan memanggil kembali pakar yang terlibat.

Walaubagaimanapun beliau berkata usaha tersebut seperti digagalkan pihak tertentu apabila Syazlin menarik diri daripada kes tersebut.

“Isu ini pada saya sangat kritikal. Inkues adalah untuk mengetahui punca kematian dan apabila dua pakar memberikan pandangan yang berbeza, koroner perlu melihat dan meneliti keterangan pakar ini sebaik mungkin dan wajar Prof Dr Shahrom dipanggil balik.

“Jadi apabila Peguam Syazlin menarik diri, maka permohononan untuk memanggil balik Prof Dr Shahrom juga akan terbatal kerana peguam ini yang membuat permohonan,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.