LEBUHRAYA WCE : PH JANGAN TUNTUT KREDIT

Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang akan dibuka diharap tidak digunakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menuntut ‘kredit’.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata projek tersebut jelas merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan atas kepentingan rakyat.

“Pembukaan WCE esok harus disyukuri oleh rakyat tetapi kita harap tidak ada sesiapa yang mahu menuntut kreditnya bahawa merekalah yang memulakannya dan merasmikannya.

“Sebaliknya kita hendaklah bersama-sama berlapang dada dan terbuka hati untuk menerima hakikat bahawa kepentingan rakyat harus diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Badar Al-Kubra anjuran PAS kawasan Bagan Datuk pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata WCE merupakan contoh komitmen kerajaan terdahulu yang dilaksanakan demi keperluan rakyat.

Justeru beliau mengingatkan WCE tidak wajar dilihat dari aspek politik kerana projek itu telah dikaji secara profesional sama ada di Kementerian Kerja Raya atau Kementerian Luar Bandar atau kementerian-kementerian yang berkenaan.

“Namun tragedi 9 Mei 2018 telah menyebabkan projek yang sedemikian sama ada diberhentikan, dikaji semula atau diteruskan.

“Projek seperti ini (WCE) harus dilakukan tanpa mengira kerajaan mana yang mengambil alih dan siapa yang telah diberikan tanggungjawab,” katanya.

Jajaran di Seksyen 8 WCE dari Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan sepanjang 19 kilometer akan dibuka secara rasmi.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.