BUDAK MAUT KENA KIPAS SILING

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat dilambung sehingga kepalanya terkena kipas siling di rumahnya dalam kejadian di Tasik Tambahan Ampang, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, hasil temubual dengan ibu mangsa mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika sepupu lelaki mangsa yang berusia 25 tahun sedang bermain dan melambung mangsa yang sedang menangis.

“Perbuatan itu mengakibatkan kanak-kanak itu telah terkena kipas siling menyebabkan kecederaan di bahagian kepala mangsa. Sejurus kejadian, ibu mangsa dan abangnya terus membawa mangsa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Dua hari selepas itu, pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada pukul 10.57 malam. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati kematian disebabkan kecederaan teruk di kepala akibat trauma benda tumpul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Azmi, bertindak atas maklumat, suspek lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun yang juga sepupu mangsa telah ditahan di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 1.15 petang semalam.

“Siasatan juga telah dijalankan di tempat kejadian iaitu bahagian dapur rumah teres dua tingkat di Tasik Tambahan Ampang, di sini.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya

Sumber : Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.