SEKS LUAR TABII : HAZIQ DAPAT SURAT TUNJUK SEBAB

“Dah mengaku buat kerja terkutuk pun masih ada harapan untuk berjawab surat tunjuk sebab… ” kata seorang pemerhati politik yang ditemui wartawan Watan Online bagi mengulas tindakan Jawatankuasa Disiplin parti PKR yang bermesyuarat Ahad lalu.

Tambah beliau, “UMNO dulu ambil keputusan buang terus.. “.

Hari ini (Rabu) PKR tidak memecat atau menggantung keahlian Haziq Abdullah Abdul Aziz, sebaliknya meminta beliau menjawab surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka mengadakan hubungan seks luar tabii dalam video lucah dikaitkan dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong itu yang digantung tugas serta-merta daripada jawatan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, minggu lalu, diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR, esok.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, berkata rumusan itu diputuskan pihaknya dalam mesyuarat Ahad lalu, dan dibentangkan kepada Biro Politik parti pada Rabu yang pengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas mesyuarat tersebut, satu sidang media diadakan di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya yang turut disertai Anwar Ibrahim; Naib Presiden, Dr Xavier Jayakumar dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Lembaga Disiplin juga menerima penafian Mohamed Azmin, susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dan menyerahkan siasatan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Anwar menegaskan isu penyebaran video lucah terbabit yang menimbulkan pertikaian dalam kalangan pemimpin parti itu tidak sampai mewujudkan perpecahan.

“Timbul dakwaan sebelum ini kononnya wujud perpecahan dalam parti berkaitan kes itu. Sebaliknya, Biro Politik akur dengan keputusan Lembaga Disiplin itu secara konsensus,” katanya.

Sebelum ini, tindakan Haziq Abdullah membuat pengakuan terbuka menerima reaksi berbeza, termasuk ada yang menuntut supaya pemimpin itu dipecat daripada parti.

Antara yang mendesak parti memecat Haziq Abdullah adalah Naib Presiden, Zuraida Kamarudin.

Mohamed Azmin sendiri turut mendesak Lembaga Disiplin memecat mereka yang menjadi dalang menyebar video lucah dikaitkan dengan dirinya.

Wartawan Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.