UMNO RANGKA MANIFESTO PRU15

UMNO akan merangka manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang dijangka dalam tempoh Mei hingga Disember tahun depan.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto UMNO perlu dirangka bermula sekarang sebagai persiapan lebih awal berbanding sebelum ini.

“Kita tidak mahu jadi seperti dahulu iaitu dua tiga bulan sebelum pilihan raya baharu hendak buat, kita mesti bermula sekarang.”tambah beliau.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu bahawa UMNO telah bersedia terhadap kemungkinan bakal menghadapi pengharaman ekoran dakwaan menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, beberapa langkah dan strategi susulan akan dilakukan parti.

“Buat apa saya hendak beritahu strategi, kalau beritahu, tidak jadi strategi. Memang ada risiko dalam kehidupan, itu tidak boleh dielakkan.

“Itu memang tugas mereka (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) menyiasat bila ada aduan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2019 di Sepang pada Ahad.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Masyati Abang Ibrahim berkata, pihaknya sedang meneliti dokumentasi UMNO negeri dan bahagian antara 41 responden menerima dana 1MDB sekiranya wujud pelanggaran di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, Mohamad berkata, kandungan Piagam UMNO-Pas akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat yang berlangsung pada 10 Julai ini.

Katanya, kedua-dua parti akan duduk berbincang selepas Mesyuarat Jawatankusa Teknikal yang diwakili oleh Naib-Naib Presiden UMNO dan Pas iaitu Datuk Seri Khaled Nordin dan Idris Ahmad.

“Kita akan lancar piagam ini di dalam satu program yang dijangka disertai seluruh rakyat Malaysia. Butiran lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Wartawan Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.