25 CEDERA MRT BERTEMBUNG

 

Seramai 25 orang cedera, termasuk dua kakitangan SMRT selepas sebuah kereta api bertembung dengan sebuah tren lain yang tidak bergerak di stesen Joo Koon, Singapura pagi Rabu.

Agensi berita tempatan MediaCorp melaporkan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada pukul 8.33 pagi.

Secara keseluruhannya 23 penumpang dihantar ke hospital, sebahagian besar daripada mereka cedera ringan, menurut SCDF. Stesen Joo Koon berada di Laluan SMRT Timur-Barat (EWL).

Dua daripada 25 mangsa terbabit dianggap berada dalam keadaan ‘kecemasan’ kerana mengalami kecederaan serius seperti patah kaki dan tulang terseliuh, lapor MediaCorp.

Salah seorang penumpang sempat menulis menerusi laman Facebook tentang pengalaman insiden tersebut dan berkata bahagian belakangnya cedera akibat pertembungan itu.

Video yang dihantar kepada pihak MediaCorp menunjukkan sebahagian platform Joo Koon terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan insiden tersebut.

Insiden ini pula berlaku pada waktu sama apabila EWL dan Laluan Circle secara kebetulan mengalami kelewatan teruk pada waktu sibuk pagi ini.

Menurut kicauan SMRT pada 8.25 pagi, menyatakan ada kerosakan kereta api di stesen Joo Koon. Pihak SMRT dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) belum mengeluarkan komen.

Insiden terbaharu itu menjejaskan imej SMRT yang sebelum ini menanggung malu apabila kerap kali perkhidmatan terganggu akibat bekalan elektrik terputus.

 

Sumber Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.