256 KAWAL MAHKAMAH TINGGI SHAH ALAM JUMAAT

 

Seramai 256 anggota serta pegawai polis bakal ditempatkan di sekitar perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam susulan sebutan kes pembunuhan Kim Jong-nam pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Nek Zaidi Zakaria berkata kesemua anggota termasuk 22 pegawai itu dikerahkan di bawah’ Op Prank’ termasuk dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula awal pagi.

“Pihak polis akan mengadakan taklimat terlebih dahulu sebelum kes berjalan.

“Kes akan dijangka disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin,” katanya, pada Khamis.

Pada 13 Februari lalu, seorang wanita warganegara Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan seorang wanita warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Majistret Sepang memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan permohonan oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.