28 JUN TARIKH PENDENGARAN PENCERAIAN ZIANA DAN SUAMI

 

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada Selasa menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan untuk mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai berhubung kes perceraian penyanyi, Ziana Zain dengan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri.

Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas Armin Zaharin, 53, enggan melafaz talak secara baik kerana mahu menemui semua anaknya.

“Saya beranggapan kamu sebagai defendan (Armin) tidak bersetuju untuk melafazkan talak terhadap plaintif (Ziana).

“Justeru, mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, saya akan mengagihkan laporan kedua-dua pihak kepada Jawatankuasa Pendamai yang dipengerusikan oleh Pejabat Agama Daerah Petaling.

“Perkara berkaitan hak penjagaan anak pula perlu dilakukan di peringkat Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Terdahulu, Armin Zaharin memberitahu mahu melafazkan cerai namun memerlukan persetujuan bersama mengenai anaknya yang tidak ditemui sejak Mac lalu.

Pada 3 April lalu, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, memfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Syariah di sini, namun Armin dikatakan tidak bersetuju melafazkan cerai dan meminta kes itu dibawa ke Jawatankuasa Pendamai.

Pada Mac lalu, Armin Zaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pindaan tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadapnya anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, 24 Februari lalu.

Pasangan itu yang bernikah pada Mei 1998 itu dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.