50,000 PENGUNDI HANTU REKAAN DAP – TAJUDDIN

 

Tuduhan pembangkang bahawa kononnya Barisan Nasional (BN) Perak membawa masuk lebih 50,000 pengundi hantu ke negeri itu hanyalah rekaan semata-mata, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata tuduhan itu yang dilempar oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming itu merupakan taktik pembangkang untuk cuba menghasut rakyat di negara ini supaya tidak mengundi BN.

“Dia (Nga) buat cerita supaya pengundi hilang kepercayaan kepada BN dan rakyat mengundi (parti) mereka…itu sahaja matlamatnya. Jangan percaya cerita dongeng yang direka cipta oleh pihak pembangkang yang akan ditimbulkan mereka apabila pilihan raya semakin hampir.

“Sebagaimana yang diketahui, ini bukan kali pertama BN dikaitkan dengan tuduhan (membawa masuk warga asing sebagai pengundi) kerana sebelum ini pembangkang pernah mendakwa 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Universiti-Industri Program Jelajah Kesedaran 2u2i ke Sekolah peringkat negeri yang dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Taj di sini, Selasa.

Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan Nga terhadap BN melalui laman Twitter miliknya, minggu lepas.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.