68 TAHUN GPMS MEMUGAR BUDAYA ILMU: BELAJAR TERUS BELAJAR

Presiden-Zambri-Mohd-Isa

 

15 Ogos 2016 yang bakal tiba beberapa hari lagi menjadikan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menjangkau usia 68 tahun penubuhannya. Tempoh 68 tahun bertapak di negara ini pastinya jika dianalogikan dengan usia seorang individu, ia menjadikan seseorang itu matang, berpengalaman dan banyak menyumbang kepada persekitarannya. Begitulah jua boleh diibaratkan dengan kewujudan GPMS yang pastinya menjadi sebuah oragnisasi yang matang memahami pelbagai isu pendidikan rakyat, berpengalaman dalam menyelesaikannya malahan tidak jemu menyumbang kepada anak bangsa dalam isu pendidikan melalui pelbagai sudut. Pastinya sejarah panjang GPMS dalam memperjuangkan agenda pendidikan memberikan impak kepada rakyat Malaysia hari ini terutamanya kepada masyarakat Melayu.

Berbekalkan slogan belajar terus belajar pastinya GPMS menjadikan isu pendidikan terutama hak pelajar-pelajar Melayu dalam negara ini agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan pendidikan sebagai agenda utama yang perlu dilaksanakan. Di mata GPMS, pendidikan bukanlah hanya terhad pada pendidikan asas di peringkat rendah dan menengah sahaja, tetapi setiap anak bangsa berhak untuk terus belajar di peringkat yang lebih tinggi agar kepakaran mereka mampu mengubah persepsi umum tentang keupayaan bangsa ini yang dikatakan tidak mampu berdaya saing dalam pelbagai bidang. Agenda pendidikan ini tidak bersifat ad hoc mahupun bermusim kerana kelangsungan kuasa bangsa Melayu di tanah air sendiri adalah perlu pada setiap saat dan pendidikan adalah alat terbaik dalam menyediakan generasi yang sentiasa berilmu dan rasional dalam mentadbir seterusnya memajukan agenda transformasi negara ke arah yang lebih cemerlang. Bertitik tolak dari itu, pelbagai pelan dan program dirangka oleh GPMS untuk merealisasikan agenda pendidikan bangsa Melayu.

Pada awal penubuhan GPMS, kelas bimbingan yang dijalankan oleh GPMS telah menjadikan GPMS berperanan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat terutamanya golongan pelajar di peringkat persekolahan menghadapi peperiksaan. Kita perlu mengakui mayarakat pada zaman 50 an dengan taraf hidup keluarga berpendapatan rendah dan keadaan negara yang baru sahaja mencapai kemerdekaan sukar menjanjikan pendidikan yang sempurna untuk dinikmati oleh rakyat. Dengan menyedari pendidikan mampu mengeluarkan rakyat dari arus kemiskinan, GPMS telah sedia tampil ke hadapan menyediakan kelas bimbingan agar masyarakat tidak keciciran dalam pendidikan dan berasa rendah diri dengan taraf hidup yang rendah dengan beranggapan ia merupakan halangan untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Peranan GPMS tidak hanya terhenti dengan kelas bimbingan untuk pelajar sahaja malahan GPMS telah bersedia membimbing masa hadapan anak bangsa supaya tidak berakhir dengan alam persekolahan sahaja. Destini anak bangsa perlu dicorakkan dengan lebih jelas dengan menyediakan pendedahan tentang alam universiti melalui program-program GPMS seperti Seminar Bimbingan Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Program seperti ini pastinya menjadi satu suntikan buat anak Melayu bahawa mereka juga mempunyai peluang masa hadapan yang cerah untuk menjadi teraju dan tonggak mengurus kemajuan negara jika mereka disiapkan dengan pendidikan yang terbaik.

GPMS juga tidak ketinggalan menjadi pemudah cara dan pembawa hasrat rakyat kepada kerajaan tentang penambahbaikan sistem pendidikan negara.Hal ini dapat dilihat dengan peranan GPMS menyuarakan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah universiti yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara. Hasilnya, hari ini UKM terus unggul dalam kecemerlangan akademik dan kajian-kajian mereka seterusnya membuktikan bahasa ibunda bukanlah penghalang kemajuan pendidikan sebuah bangsa.

Di samping itu, peranan GPMS dalam memajukan bahasa juga dapat dilihat dengan penglibatan dengan cadangan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai satu badan yang menyelia penggunaan bahasa dan pengembangan fungsi bahasa Melayu dalam pendidikan.

Ternyata melalui usaha ini, GPMS bukan sahaja memastikan ketersampaian pendidikan kepada anak bangsa malah memastikan anak bangsa tidak meninggalkan aset mereka yang menjadi jati diri bangsa Melayu iaitu bahasa Melayu seiring dengan usaha mereka mengecapi kecemerlangan dalam pendidikan.

Usaha GPMS dalam memperjuangkan pendidikan juga telah disambut baik oleh pihak kerajaan dalam memberikan ruang dan peluang untuk menyumbang idea demi keberhasilan polisi yang terbaik untuk rakyat. Peluang diberikan oleh kerajaan kepada GPMS dalam Perundingan Meja Bulat mengenai Pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR pada tahun 2010. Hal ini demikian kerana disebabkan kecaknaan kerajaan mendengar pandangan melalui pelbagai sudut termasuk GPMS yang sudah lama berkecimpung dalam dunia pendidikan negara ini. Selain itu, GPMS juga diberikan peluang terlibat dalam Dialog Nasional Pendidikan Negara dalam menyuarakan isu-isu pendidikan negara. Pastinya, peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada GPMS merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai ertinya dalam merealisasikan perjuangan pendidikan yang terbaik untuk orang-orang Melayu.

Bersempena dengan ulang tahun ke 68 GPMS tahun ini, pastinya isu-isu pendidikan nasional yang terus diletakkan dalam perhatian GPMS sebagai perjuangan yang berterusan. GPMS sentiasa menghargai usaha-usaha pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada hari ini dalam memantapkan dan merapikan pelan dan hala tuju pendidikan negara. Di sebalik krisis ekonomi yang meruncing dan tekanan kejatuhan mata wang, kerajaan hari ini masih tidak meninggalkan perbelanjaan agenda pendidikan jauh ke belakang dalam peruntukan yang dibentangkan. Pendidikan senntiasa disenaraikan antara sektor yang menerima perbelanjaan pendidikan yang tertinggi. Pemantapan agensi berkaitan bantuan pendidikan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan penajaan pendidikan pelajar cemerlang oleh pihak kerajaan juga dilihat menunjukkan kesungguhan usaha kerajaan memastikan isu pendidikan tidak boleh diabaikan walaupun negara berada dalam keruncingan pergerakan ekonomi. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 yang dibentangkan oleh kerajaan Malaysia memperlihatkan kesediaan kerajaan meletakkan hala tuju pedidikan bermutu dan memberikan impak yang holistik kepada masyarakat. Pastinya GPMS menghargai usaha kerajaan ini dan bersedia memberikan sokongan dalam bentuk idea dan tenaga dalam menjayakan agenda pendidikan yang secara tidak langsung memberi impak kepada masa hadapan anak bangsa.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 68 GPMS ini, konteks pendidikan masyarakat negara ini pastinya berbeza dengan kondisi awal penubuhan gabungan ini. Pada awal penubuhan GPMS, semangat kebangsaan anak Melayu sungguh berkobar-kobar mendapatkan pendidikan demi membebaskan bangsa daripada penjajahan fizikal dan minda. Ilmu pengetahuan perlu diperkembangkan dan memugar dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu agar masyarakat berilmu dapat mentadbir tanah airnya sendiri di samping keperluan pembugaran semangat nasionalisme yang tinggi. Namun begitu, arus kemajuan masyarakat yang semakin berkembang hari ini menjadikan anak bangsa mudah melupakan jati diri seterusnya melunturkan semangat sayangkan bangsa dan tanah air. Arus pembangunan hari ini bukan sahaja melunturkan jati diri anak bangsa malahan telah melalaikan tuntutan untuk anak bangsa berdaya saing dalam pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

Kesedaran yang perlu diakui oleh bangsa hari ini adalah kemajuan ini tidak akan mengulit diri kita selamanya jika pemantapan pendidikan anak bangsa tidak dijayakan.

Maka, cabaran terbesar GPMS hari ini adalah untuk menyuntik kesedaran kepada anak-anak Melayu untuk mengembalikan jati diri dengan semangat sayangkan bangsa dan tanah air, selanjutnya merebut peluang pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan pelan yang disediakan oleh kerajaan.

Pada akhirnya, jika diamati logo GPMS yang mengandungi obor, begitulah agenda perjuangan GPMS dalam memberikan cahaya kesedaran. Kita perlu mengakui dan sedar perjuangan ini adalah perjuangan berbentuk kolektif atau kebersamaan demi kelangsungan sebuah bangsa. Perjuangan untuk membugar ilmu pastinya adalah perjuangan mulia dan tidak boleh terhenti apabila nikmat dikecapi. Ini adalah sejajar dengan dengan sabda junjungan Baginda Nabi Muhammad yang menyebut bahawa, “jadilah orang yang berilmu, atau menuntut ilmu atau orang yang mendengar ilmu atau orang yang menyukai ilmu, dan janganlah kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa”.

Melalui hadis ini, GPMS bertindak sebagai orang yang keempat, yang menyukai ilmu dengan menyediakan program-program pembugaran ilmu pengetahuan dalam kalangan anak bangsa supaya mereka menjadi penutut ilmu yang akhirnya akan mengajarkan ilmu pada yang lain. Obor perjuangan ini tidak akan padam selagi anak bangsa mendukung perjuangan murni GPMS dan sokongan kerajaan yang berterusan dalam memajukan pendidikan rakyat. Semoga dengan 68 tahun GPMS bertapak di bumi berdaulat ini masyarakat terutamanya orang Melayu akan belajar dan terus belajar agar negara terus dirahmati dengan pembugaran ilmu seterusnya merealisasikan konsep baldatun thoyyibatun wa robbun ghofur (negara yang baik, Tuhan akan memberi pengampunan) seperti disebut dalam kalamnya yang indah.

Ameen.

Penulis adalah Zambri Mohd Isa Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Leave a Reply

Your email address will not be published.